Baru berusia 17 tahun, jaguh muay thai negara, Jojo Ghazali melakar kecemerlangan apabila dinobatkan sebagai Bintang Baharu Paling Menonjol 2023 oleh ONE Championship, sekali gus menutup tirai tahun ini dengan cukup gah.
Jojo atau nama penuhnya Muhammad Johan Ghazali dijulang dengan gelaran tersebut sebaik memperagakan aksi tangkas dan luar biasanya sepanjang pertarungan di gelanggang pada musim ini.
Berita gembira buat anak kelahiran Sarawak dan seluruh rakyat Malaysia itu diumumkan sendiri oleh organisasi ONE Championship di akaun media sosial mereka.
“Tahun 2023 sangat besar buat Johan Ghazali yang berusia 17 tahun.
“Masa depan sangat cerah untuk sensasi muay thai ini,” memetik kenyataan menerusi hantaran di Facebook berserta poster penghargaan.
ONE Championship juga berkongsi pencapaian Jojo menerusi beberapa hanataran di platform media sosial milik mereka di samping turut mengiktiraf kejayaan dicapai oleh bintang-bintang lain.
“Dengan rekod kemenangan 5-0 dan empat KO (kiraan knockout) tahun ini di bawah peraturan muay thai, Johan mengatasi pencabar lain bagi bergelar Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023,” catat kenyataan tersebut.
Jojo yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai Gym membuka kempen 2023 dalam pertarungan Road to ONE Championship dengan langkah kanan.
Kejayaan itu diraih selepas dia menumpaskan bintang muda Thailand, Padetsuk Fairtex secara KO dalam tempoh hanya 16 saat pada pertarungan ONE Friday Fights pada Februari lalu.
Jojo terus unggul apabila melakar satu lagi kemenangan dengan kiraan KO ke atas Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand dalam tempoh 1 minit 37 menerusi satu lagi siri kejohanan ONE Friday Fights pada 18 Mei lepas.
Konsistensi Jojo disifatkan sangat cemerlang sementelah berjaya mengalahkan Samurai Seeopal dari Thailand menerusi keputusan sebulat suara dalam tempoh 3 minit pada pertarungan ONE Friday Fights pada Julai lalu.
Tanpa menoleh ke belakang, Jojo kembali ke gelanggang tiga bulan kemudian untuk menentang petinju dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights.
Biarpun mendapat tentangan sengit, kemenangan akhirnya memihak Jojo dengan keputusan KO dalam tempoh 2:43s.
Kemenangan tersebut menyaksikan dia berjaya memahat sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) bersama ONE Championship.
Kejayaan meraih kontrak itu melonjakkan lagi semangat Jojo untuk tampil lebih garang di gelanggang.
Pertarungan terakhirnya tahun ini menentang juara Muay Thai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares menyaksikan dia gah dengan keputusan KO dalam tempoh hanya 36s. – ALE-ALE