Gara-gara dihalang pengawal keselamatan daripada masuk ke kediamannya akibat bil penyelenggaraan yang tertunggak, seorang pemuzik naik berang lalu mematahkan palang automatik di sebuah kondominium di Ampang Jaya.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu dilaporkan oleh seorang pegawai eksekutif, 36, semasa hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 55 tahun terbabit telah meminta pengawal bertugas agar membuka pintu pagar automatik dan membenarkannya masuk.
“Bagaimanapun, pengawal tersebut menghalangnya meletakkan kenderaan di dalam kawasan kondominium kerana terdapat tunggakan bil penyelenggaraan sebanyak RM6,448.
“Suspek kemudian bertindak mematahkan palang pagar automatik dan terus masuk. Syarikat pengadu mengalami anggaran kerugian RM1,500 akibat kejadian itu,” katanya.
Mohd Azam menambah, susulan laporan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai pemuzik di pekarangan Balai Polis Pandan Indah pada pukul 8.50 malam.
“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan didapati negatif dadah.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya. – ALE-ALE
Sumber: KOSMO!