Pelakon Jalil Hamid akui dirinya mengalami penurunan berat badan secara drastik hingga kehilangan 30 kilogram ekoran masalah sakit jantung dihidapinya sejak setahun lalu.
Aktor hebat berusia 66 tahun itu berkata, dia akan muntah setiap kali makan sehinggakan terpaksa akur menjamah hidangan lembut dan cair seperti bubur saja.
“Jadi, saya hanya boleh makan sesuatu yang cair seperti bubur. Penurunan berat badan ini juga membuatkan saya tidak stabil ketika berjalan kerana terlalu ringan.
“Justeru bila dalam keadaan begini, saya sudah tidak boleh memandu kereta lagi. Sekarang ini isteri yang bantu hantar ke mana-mana,” dedahnya.
Jalil menambah, jantungnya didapati membengkak selepas menjalani pembedahan sekitar Julai tahun lalu dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan.
Jalil ditemui pemberita usai tamatnya majlis program dakwah Selebriti Bersama Mufti di kediaman pelakon Diana Rafar di Shah Alam. – ALE-ALE