Seorang bekas wartawan kanan hiburan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, tindakan memburukkan sesama rakan artis melalui siaran langsung (Live) perlu dielakkan agar perbuatan itu tidak menjadi rujukan dalam industri hiburan tanahair.
Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, 47, menegaskan, perbalahan yang berlaku di antara penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana dan lima rakan artis sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) tidak menyangka perbalahan di antara Nana dan lima sekawan itu berlarutan sehingga perlu diselesaikan di mahkamah.
“Saya tidak setuju kerana tindakan itu akan menjadi rujukan pada masa depan,” ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam dunia hiburan melebihi 20 tahun.
Tengku Khalidah menyatakan demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi plaintif dalam perbicaraan kes saman yang dikemukakan oleh Nana terhadap kelima-limanya atas dakwaan memfitnah.
Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.
Pada sesi pemeriksaan semula oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Nana, Tengku Khalidah berkata, rakaman live itu menjadi tular namun beliau tidak langsung menyangka ia membawa kepada kes saman difailkan penyanyi tersebut.
Dalam keterangannya, Tengku Khalidah menyatakan, sepanjang bertugas sebagai wartawan hiburan bagi penerbitan akhbar dan majalah di bawah Kumpulan Utusan, Siti Nordiana seorang yang profesional ketika ditemubual dan dalam sesi fotografi.
Beliau yang kini berjawatan Ketua Cawangan Penjenamaan Editorial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan, penyanyi itu juga mudah berurusan dengan wartawan hiburan daripada media lain.
Plaintif hampir tiada terlibat dengan isu kontroversi yang boleh mengancam kewujudannya sebagai penyanyi baharu. Ia merupakan kekuatan asas plaintif yang membezakannya dengan penyanyi baharu yang lain,” ujarnya dalam pernyataan saksi.
Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura manakala Nur Izzaida Zaman bagi pihak Razidah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – ALE-ALE
Sumber: UTUSAN