Pelakon Mira Filzah menafikan dirinya adalah selebriti yang digembar-gemburkan sebagai seorang pempengaruh biadab serta berperangai syaitan.
Ini kerana, nama Mira dipetik oleh netizen di kala mengulas khabar angin berhubung tindakan seorang pelakon berhijab yang pernah membaling skrip ke arah kru produksi penggambaran.
Menurut Mira, dia tidak tahu punca dirinya boleh terkait, sedangkan selama 10 tahun terlibat dalam bidang seni, tidak sekali pun melemparkan barang kepada sesiapa.
Terdahulu, pempengaruh Ceddy menerusi siaran podcast mengundang dua pempengaruh terkenal iaitu Sarancak dan Nell dalam satu episodnya.
Kedua-dua wanita itu kemudian berkongsi pengalaman bekerja bersama seorang selebriti yang dianggap sweetheart dalam kalangan peminat, padahal hakikatnya mempunyai perangai buruk dan bermasalah.
Lebih teruk, kedua-dua pempengaruh berkenaan melabelkan selebriti berhijab terbabit seumpama seorang hijabista yang bertopengkan syaitan. – ALE-ALE