Gara-gara salah faham antara pihak berkuasa, seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang mengalami trauma apabila terpaksa meringkuk di dalam lokap selama empat hari atas dakwaan jenayah pihak lain.
Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, mendedahkan, dia baru sahaja dibebaskan pada 7 September lalu setelah empat hari direman kerana didakwa melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumahnya, warga Kemboja, Sok Vann Chandy, 28.
Menurut Nichole, dianggarkan seramai 15 hingga 20 anggota polis menyerbu rumah ibunya di Taman Sri Jempol.
“Ibu orang pertama yang menyedari kehadiran pihak polis dan terus mengejutkan semua ahli keluarga yang sudah pun tidur pada waktu mereka datang lebih kurang jam 11.30 malam.
“Paling mengejutkan apabila seorang pegawai memaklumkan, tujuan mereka berada di situ adalah untuk menahan saya selepas menerima aduan dilaporkan pembantu rumah saya, Sok Vann Chandy, wanita warga Kemboja yang mendakwa dirinya didera,” dedah Nichole kepada media ketika ditemui dalam satu sidang media di Bandar Bukit Puchong, baru-baru ini.
Namun sedikit mencurigakan kata Nichole, sepanjang empat hari tempoh reman berlalu, tiada seorang pun anggota yang mengambil keterangan daripadanya sebagai prosedur soal siasat.
“Sedia maklum, ia satu jenayah berat dan besar. Jadi, kenapa polis langsung tidak menyoal siasat saya?” getusnya keliru.
Bercerita lanjut, usai dibebaskan, keluarga serta kenalannya telah mendapatkan khidmat peguam untuk merujuk kes dihadapi Nichole ke beberapa pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan sebenar asbab dia ditahan.
Selepas beberapa hari kes itu dipanjangkan, hasil penilitian mendedahkan bahawa amah berusia 28 tahun berkenaan rupa-rupanya membuat laporan terhadap majikan terdahulu, sebelum Vann Chandy mula bertugas di rumah Nichole di Puchong.
Nichole yang mengakui kakinya sering berasa kebas akibat kesejukan tidur pada setiap malam, apatah lagi kondisi tubuhnya yang masih lemah selepas bersalin bagaimanapun enggan menuding jari menyalahkan sebarang pihak.
Pun begitu, Nichole menerangkan, hal tersebut masih lagi dipertimbangkan untuk dibawa ke muka pengadilan ataupun sebaliknya. – ALEALE.DR