
Dikenali kerana sering berkongsi aktiviti dirinya serta seluruh keluarga di semua platform media sosial sehingga mampu mengumpul pengaruhnya yang tersendiri, nama pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Aleeya Zailan semakin masyhur.
Terkini, satu hantaran video di akaun media sosial Aveny’s iaitu jenama produknya, pengasas berasal dari Melaka itu meraih pujian warganet sehingga mencatat jumlah hampir satu juta tontonan sejak dimuat naik semalam.

Menerusi video tular berkenaan, kedengaran Aleeya sedang menyerlahkan bakat seninya yang terpendam serta tidak diketahui ramai.
Berdurasi hampir 60 saat, Aleeya dilihat sangat menjiwai tatkala menyampaikan lagu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bertajuk Bicara Manis Menghiris Kalbu dengan suara yang cukup merdu untuk didengari.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum, malah ada juga yang terkejut mendengar kelunakan vokal lontaran Aleeya yang tidak pernah diperdengarkan di hadapan khalayak.
“Dari dulu saya dengar Kak Aleeya menyanyi, memang sedap-sedap belaka suara kakak.
“Jujur cakap, sumpah sedap suara sis. Sampaikan saya keliru nak percaya sama ada miming saja ataupun betul-betul menyanyi,” memetik beberapa pujian dicoretkan netizen.

Bahkan tidak keterlaluan, ada dalam kalangan warga maya yang berpendapat bahawa tona suara Aleeya kedengaran seakan-akan milik penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza.
“Setiap kali kakak nyanyi, memang best. Ada mixed suara Tok Ti pun ya juga.
“Sedapnya suara awak Aleeya… Dah macam Datuk Siti pula masa mula-mula dengar.

“Muka ada iras Afifah Nasir, suara pula hampir nak sama macam nyanyian Siti. Mantap!” antara kata-kata pujian pengikut akaun TikTok tersebut.
Bukan itu sahaja, terdapat juga sebaris komen lucu, tetapi sini ditulis oleh seseorang yang bunyinya seolah-olah menyindir pengasas-pengasas produk lain yang sebelum ini telah pun melancarkan beberapa buah lagu.

“Oh, ada rupanya founder bersuara sedap. Ingatkan dah pupus. Syukurlah ada Aleeya. First time dengar dia nyanyi, rasa nyaman.
“Tak macam ‘dua tiga empat lima ‘ekor’ pengasas produk yang tergedik-gedik tu, berangan jadi penyanyi tapi suara nun jauh ke Lautan Hindi perginya. Harap viral saja, kualitinya jahanam,” getusnya seperti sedang melepaskan kegeraman. – ALEALE.DR