Pelakon Syafie Naswip bergelar suami kepada wanita pilihannya yang juga model dan pelakon, Nur Afiqah Ishak di Dewan Wilqadry, Putrajaya kira-kira jam 11.04 pagi tadi.
Majlis akad nikah itu disiarkan secara langsung menerusi akaun Instagram (IG) milik Syafie dan hanya dihadiri keluarga serta kenalan terdekat.
Dalam majlis yang diadakan secara sederhana itu, Syafie atau nama sebenar, Muhammad Syafie Naswip, 31, menyerahkan mas kahwin RM300 sebaik disahkan bergelar suami isteri.
Selepas selesai majlis akad nikah, Syafie dilihat sebak sehingga menitiskan air mata ketika membaca lafaz taklik, iaitu perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak.
Pada majlis itu, Syafie dan Afiqah mengenakan busana pengantin rona putih.
Menerusi ruangan komen dalam sesi siaran langsung di IG Syafie yang ditonton lebih 1,500 pengikut, ramai meninggalkan komen berserta ucapan tahniah atas pernikahan mereka.
Semalam, Syafie berkongsi akan membuat satu pengumuman khas di IG miliknya, pagi ini.
Sementara itu, menerusi perkongsian pengurusnya dikenali Pawi yang mengendalikan siaran langsung di IG Syafie memaklumkan, perkenalan mereka bermula ketika menjalani penggambaran bersama, beberapa tahun lalu.
Pawi memberitahu, Afiqah yang sah menjadi isteri Syafie menerusi sekali lafaz itu menerima wang hantaran berjumlah RM15,000.
Tambahnya, majlis pernikahan yang diadakan hari ini sudah dirancang sejak tahun lalu. – ALE-ALE