Polis memperoleh petunjuk siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada 6 Disember lalu menjurus kepada seorang suspek.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai aspek bagi memperoleh fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.
“Buat masa ini, petunjuk yang ada menjurus kepada seorang individu. Jadi, kita sama-sama berdoa agar kita boleh tangkap penjenayah itu.
“Kita (polis) tidak mahu bekerja dalam spekulasi, jadi beri ruang kepada polis untuk bekerja berdasarkan fakta,” katanya diminta mengulas perkembangan siasatan kematian kanak-kanak itu.
Beliau ditemui pemberita di perkarangan Istana Alam Shah, Klang selepas Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke 78 semalam.
Hussein berkata, proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut katanya, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dipercayai dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
“Pada pagi hari yang sama, polis ada buat pencarian tetapi tidak jumpa. Jadi (kita buat pencarian lagi) kita jumpa mayat mangsa pada malam hari..jadi kemungkinan (mayat mangsa dibuang) petang sewaktu hujan lebat… kita percaya pada petang itu.
Dalam pada itu katanya, siasatan polis juga tertumpu kepada stor yang terletak 50 meter dari kediaman mangsa bagi mengenalpasti individu yang kerap berada di lokasi berkenaan. – ALE-ALE
Sumber: BERITA HARIAN