Penyanyi berbakat besar, Aina Abdul tidak dapat menahan air mata apabila mengenang kembali kisah hidupnya menyanyi di kelab malam selama empat tahun.
Menerusi temu bual eksklusif bersama program Show Dalam Bilik, Aina berkata, selama 4 tahun dia menyanyi di kelab malam sekitar Bukit Bintang dan Changkat untuk mencari duit.
Pun begitu, dia nekad meninggalkan tempat itu selepas terkesan dengan kata-kata beberapa orang industri yang datang melihat persembahannya.
“Dalam empat tahun juga saya menyanyi di kelab untuk cari duit. Setiap minggu saya akan menyanyi di sekitar Bukit Bintang, Changkat, restoran dan beberapa tempat.
“Ketika itu ada beberapa orang industri yang datang tengok show saya dan dia kata ‘sayang la kau nyanyi dekat sini, siapa yang nak tengok?’. Ayat itu membangunkan saya.
“Ibarat satu tamparan hebat dalam hidup saya. Mungkin kerana saya sudah selesa dengan kehidupan saya ketika itu sebagai seorang penyanyi kelab malam.
“Kalau tanya saya adakah menyanyi di kelab seronok? Jujur saya akan kata itu adalah momen terbahagia dalam hidup. Sebab dalam kelab tiada seorang pun yang menilai saya,” akuinya.
Mengenang kembali kenangan ketika menyanyi di kelab malam, Aina berkata ia pengalaman yang sukar dilupakan lebih-lebih lagi komuniti di sana menghargai bakatnya.
Katanya sebagai hijabis, orang-orang di kelab malam tidak pernah memandang serong terhadapnya kerana mereka lebih kisah tentang kerjanya selaku penghibur.
“Bayangkan saya berhijab, tapi nyanyi di dalam kelab yang menyajikan minuman alkohol. Ikut logik itu bukan tempat yang sesuai untuk wanita berhijab buat menyanyi.
“Tetapi orang yang mengundang saya menyanyi, mereka tidak kisah tentang personaliti saya, mereka cuma peduli dengan bakat saya, Alhamdulillah itu peluang.
“Saya rasa dihargai dan tidak langsung dinilai. Dari situ juga saya mencari diri yang sebenar dan terlahirlah Aina Abdul. The real Aina Abdul sebenarnya lahir ketika dia menyanyi di kelab malam.
“Dengan nasihat beberapa orang yang suruh saya keluar dari situasi itu dan akhirnya saya nak keluar. Bukan kerana saya tidak suka, tetapi saya agak letih.
“Dengan umur yang semakin meningkat, saya kata perlu buat sesuatu. Cari rezeki yang lebih luas di luar,” ujarnya. – ALE-ALE