Seorang guru dikatakan memujuk isteri dan anak kembarnya untuk sama-sama menamatkan riwayat sendiri gara-gara tidak mampu melunaskan hutang ditanggung.
Difahamkan sebelum kejadian, lelaki berusia 38 tahun dikenali Wahab itu telah menyuruh seorang daripada anak kembar duanya yang berumur 12 tahun supaya tidur di bilik depan.
Tidak lama kemudian, si kembar seorang lagi yang disuruh tidur di luar terdengar jeritan bapanya sebelum jiran tetangga turut bergegas ke rumah keluarga berkenaan.
Setibanya di rumah berkenaan, mereka menjumpai isteri Wahab iaitu Sulikhah, 35, dalam keadaan mulutnya berbuih, manakala muka anak kembar yang tidur bersama suami isteri terbabit telah kebiruan.
Bagaimanapun, pada ketika itu Wahab yang menetap di Kecamatan Pakis, Kabupaten Malang, Indonesia itu dilihat masih lagi bernyawa biarpun nadi di pergelangan tangannya dikelar dan darah mengalir deras.
Lebih meruntunkan jiwa, guru berkenaan sempat meninggalkan nota pesanan buat seorang lagi anak kembarnya agar tidak mengabaikan pelajaran.
Hasil siasatan polis mendapati, guru terbabit menanggung beban hutang keliling pinggang yang sukar dilunaskannya.
Malah, terdapat saksi memaklumkan, Wahab sempat berjumpa dengan beberapa pemiutang untuk menyuarakan ketidakmampuannya membayar hutang-hutangnya.
Siasatan polis juga menyatakan, si mati tidak berhutang dengan mana-mana institusi kewangan atau bank, cuma meminjam daripada segelintir individu dipercayai lintah darat.
Di samping itu, ramai dalam kalangan tetangga keluarga terbabit hairan dengan motif Wahab memberi arahan berbeza kepada kedua-dua anak kembarnya. – ALE-ALE
Sumber: TRIBUN NEWS