Kalau sudah tertulis di lul mahfuz masa yang ditetapkan-Nya, maka pasti terjadi perkara dikehendakinya tanpa akan ada sedetik pun terawal, mahupun terlewat.
Begitulah yang terpaksa ditempuhi pereka fesyen ternama, Jovian Mandagie yang mendedahkan telah menceraikan isterinya, Nina Sabrina Ismail hampir empat bulan lalu.
Malah, berasa lebih ralat, talaknya ke atas Nina dijatuhkan tatkala menjelang enam hari saja lagi pasangan tersebut bakal menyambut hari ulang tahun keenam pernikahan mereka.
“Ada perkahwinan yang istimewa tercipta untuk seumur hidup, tapi perkahwinan kami pula menjadi persahabatan seumur hidup.
“Pada Ogos lalu, kami sama-sama bersetuju menamatkan perkahwinan kami yang berusia 10 tahun kerana kami percaya itu adalah jalan yang terbaik.
“Kami kekal sebagai sahabat dan ibu bapa kepada Jeanelle. Alhamdulillah. Rasa kasih sayang kami kepada ibu bapa dan keluarga tak pernah berubah. Kami percaya Allah adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Jovian turut menzahirkan rasa syukurnya kepada peminat yang selama ini menyokongnya dan Nina sehingga tercetusnya panggilan dengan tanda pagar #Jovianina.
Ironinya, pengumuman mengejut dibuat Jovian itu dizahirkan tatkala dia dan Nina sepatutnya meraikan ulang tahun keenam perkahwinan mereka pada 11 Disember depan.
“Selepas beberapa dekad, anda menjadi sebahagian draipada perjalanan kami. Kami sentiasa ingat akan setiap kenangan itu.
“Sokongan anda kepada #Jovianina tidak ternilai dan kami berharap sokongan itu akan berterusan.
“Semalam semasa sesi siaran langsung di TikTok, kami tersentuh dengan komen-komen baik anda mengenai rumah tangga kami.
“Terima kasih untuk doa dan sokongan anda untuk babak baharu kehidupan kami ini,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Jovian dan Nina berkahwin pada 11 Disember 2013 sebelum mereka dikurniakan seorang puteri, Jeanelle Nika Mandagie, 6. – ALE-ALE