KUALA LUMPUR – Pengacara wanita popular, Elly Mazlein atau mesra disapa sebagai Kak Lina membuat keputusan mengejutkan apabila mengundurkan diri daripada program All Stars Gegar Vaganza (GV 10).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Astro hari ini, keputusan Kak Lina tidak lagi bersama keluarga besar Gegar Vaganza adalah disebabkan hal peribadi.
“Dengan rasa berat hati, Astro ingin mengumumkan tentang pengunduran Kak Lina dari pentas GV 10 atas hal-hal peribadi.
“Walaupun berita ini agak menyedihkan, namun pihak Astro menghormati keputusan yang diambil olehnya,” kata Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad.
Dalam pada itu, pihaknya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang siaran GV 10.
Pun begitu Raqim menambah, para peminat Kak Lina masih berpeluang untuk menonton personaliti disayangi ramai itu menerusi program-program Astro yang akan datang.
Dalam kenyataan sama, Kak Lina turut mengemukakan permohonan maaf kerana tidak dapat meneruskan tugasnya mengacarakan program nyanyian terkenal itu di samping Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
“Kak Lina amat berterima kasih kepada semua yang menyokong Kak Lina sepanjang GV 10. Sesungguhnya Kak Lina amat menghargainya.
“Insya-Allah, kita doakan rancangan ini terus berjaya dan Kak Lina berharap agar peminat-peminat kekal menyokong semua bintang GV,” tambahnya.
All Stars Gegar Vaganza akan terus dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse serta barisan juri profesional dan bintang-bintang yang bertanding. – ALEALE.DR
Sumber: AWANI