Peserta All Stars Gegar Vaganza, Azharina Azhar jelaskan, bukan niatnya menipu konon tidak pernah menyanyikan lagu La Bamba seperti yang didakwa netizen dalam hantaran tular di laman X.
Kata Azharina atau mesra disapa Nina, jawapannya kepada juri Datuk Ramli MS adalah berdasarkan dirinya yang memang tidak pernah membawakan lagu berkenaan di pentas persembahan rasmi.
“Apa yang tular itu merupakan nyanyian spontan saya dengan kumpulan busker di depan Sogo beberapa tahun lalu sebelum berhijab.
“Saya pun tak tahu apa niat mereka yang tularkan. Tak mengapalah, cuma memang saya tak pernah sampaikan lagu itu secara profesional atau dalam pertandingan.
Nina menambah, hal itu juga tidak sepatutnya timbul kerana dia bukannya mendapat markah tertinggi atau berada dalam kedudukan yang baik.
“Saya pun di bottom three, jadi tak ada isu pun. Mujur masih ada rezeki walaupun sudah dua kali hampir tersingkir,” katanya disusuli tawa.
Mengulas lanjut, Juara GV musim ketiga itu memberitahu, dia berterima kasih kepada semua peminat dan penyokong yang tidak jemu-jemu memberikan kata semangat.
Meskipun berada dalam kedudukan tidak selesa sejak mula bersaing, dia akui lega kerana sentiasa mendapat komen membina daripada peminat dan netizen, bahkan rakan industri.
“Saya serah kepada Allah, selagi ada rezeki, saya akan teruskan dan semangat saya datang daripada peminat dan rakan-rakan yang selalu memberikan sokongan.
“Saya mahu apa yang saya sampaikan diterima baik khalayak kerana itu membuatkan saya gembira untuk legasi kerjaya seni saya,” katanya. – ALE-ALE