Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menyelamatkan empat beradik, masing-masing berusia tujuh bulan, dua, lima dan tujuh tahun yang ditemui dibiarkan bersendirian selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan, Seremban pada Isnin.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosnah Sardi berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perkara itu daripada jiran kanak-kanak berkenaan.
“Pihak kami menerima aduan daripada beberapa jiran pada jam 9.40 malam kelmarin (Isnin) mengenai keadaan tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia tujuh bulan yang ditemui dalam keadaan tidak terurus.
“Ketika JKM mengambil mereka, anak-anak ini berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurutnya, pegawai JKM telah membuat siasatan segera ke lokasi kejadian dan mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut merupakan warga Rohingya serta sebelum ini sering berpindah randah.
Ujarnya, tindakan lanjut turut dilakukan dengan menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) kerana kes membabitkan pelarian daripada Rohingya yang dilindungi UNCHR.
“Anak-anak ini ditempatkan di tempat selamat sebelum diserahkan kepada bapa kandung di bawah pemantauan pihak UNCHR,” katanya.
Tambahnya, satu laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian ini dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 17 (1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016. – ALE-ALE
Sumber: SINAR HARIAN